top of page

 

 

 

 

Dato' Dr Asma' Ismail

NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

 

     Prof Dato' Dr Asma Ismail kini merupakan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Profesor di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM. Beliau merupakan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau berkelulusan dari Universiti Nevada, Reno, Amerika Syarikat dengan kelayakan cemerlang dalam biologi, menerima MA dalam Mikrobiologi dari Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat dan memperolehi PhD dalam bidang Biologi Selular dan Molekul di Universiti Nevada, Reno, Amerika Syarikat pada tahun 1986.

 

      YBhg. Dato' Asma begitu teruja dan amat berminat dengan idea membangunkan teknologi kesihatan tulen dan inovasi yang boleh menjana kekayaan untuk negara dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat pada umumnya. Pembangunan diagnostik segera dan berpatutan untuk penyakit-berjangkit berjaya menyediakan peluang dalam memastikan ketersediaan serta akses kepada kesihatan berkualiti terutamanya bagi orang-orang dari negara-negara mundur. Beliau sememangnya pakar dalam bidang proteomik dan diagnosis penyakit berjangkit, terutamanya demam kepialu. Kajian beliau mengenai biomarkers khusus membawa kepada penemuan 50kDa yang bersifat antigen Salmonella typhi. Profesor Asma merupakan salah seorang saintis hebat yang dikreditkan dengan penterjemahan penemuan saintifik empat kit diagnostik untuk kepialu yang telah berjaya dikomersilkan sehingga peringkat global kepada lebih 18 buah negara sejak tahun 1994. Pengkomersilan TYPHIDOT, ujian segera diagnostik untuk mendiagnosis akut kepialu, telah menjana jualan, penerbitan, dan telah mewujudkan lebih daripada 500 peluang pekerjaan di serata dunia di samping menyokong industri tempatan di Malaysia. Beliau juga turut membantu memulakan syarikat perintis bioteknologi dalam bio-diagnostik untuk Malaysia.

 

     YBhg. Dato' Asma memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Jabatan Perubatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia pada tahun 1986. Beliau juga merupakan saintis pelawat di Universiti Tokyo pada tahun 1989 dan felo pelawat di Kolej Perubatan, Hospital St Bartholomew di London pada tahun 1992. Beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 1993 dan berkhidmat sebagai Timbalan Dekan Pentadbiran pada tahun 1994. Beliau telah dinaikkan pangkat kepada Profesor pada tahun 2000 dan menjadi Timbalan Dekan Penyelidikan dalam tahun yang sama. Pada tahun 2001, beliau menjadi Pengarah Pusat Perubatan Inovasi dan Pembangunan Teknologi, USM. Seterusnya pada tahun 2003, beliau menjadi Pengarah Pengasas, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), sebuah institut penyelidikan berkluster multidisiplin pertama di USM. Pada bulan Mei, 2008, beliau menjadi wanita pertama di USM memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

 

     Selain itu, YBhg. Dato' Asma terlibat secara aktif dalam penyelidikan dengan memperolehi geran lebih daripada RM14 juta (AS $4.7 juta) dalam tempoh 5 tahun yang lalu, membentangkan sebanyak 230 kertas dan menerima lebih daripada 147 jemputan sebagai pengucaptama dan penceramah pleno di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk berkongsi penemuan saintifik dan pengalaman beliau dalam pengkomersilan produk R&D. Pencapaian R&D dan kesan daripada penyelidikan beliau di peringkat nasional dan antarabangsa telah mendapat lebih daripada 74 penerbitan saintifik, difailkan untuk 38 paten di seluruh dunia dimana 12 daripadanya telah digerankan/diiktiraf, termasuk menerima lebih daripada 92 anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Sementara WHO untuk vaksin dan penyakit cirit-birit sejak tahun 2002. Beliau menerima pelbagai anugerah berprestij peringkat negara termasuk Anugerah Saintis Muda Kebangsaan pada tahun 1991, Anugerah Sains Toray & Teknologi Malaysia untuk sumbangan cemerlang dalam bidang sains pada tahun 2002, Anugerah Pencipta Negara pada tahun 2003, Anugerah Inovasi Negara 2006 dan Anugerah Akademik Negara bagi Produk dan Perkomersilan pada tahun 2007. Beliau juga dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia pada tahun 2003 dan berkhidmat sebagai ahli majlis dari tahun 2007 hingga 2011. Kecemerlangan beliau berterusan pada tahun 2012 apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Naib Presiden Akademi Sains Malaysia. Beliau turut diberi pengiktirafan apabila dilantik sebagai Ahli Akademi Sains Untuk Dunia Membangun (TWAS) pada tahun 2010 yang dipilih antara 1000 orang saintis terkemuka dunia. Sebagai pengiktirafan sumbangan akademik dan penyelidikan beliau, University of Glasgow, Scotland akan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat Sains pada pertengahan tahun 2013 nanti. Pencapaian cemerlang beliau terkini bagi tahun 2012 ialah telah dianugerahkan sebagai Saintis Penyelidikan Terulung Malaysia oleh Akademi Sains Malaysia.

 

     Di peringkat kebangsaan, beliau adalah Pengerusi Pengasas bagi penubuhan dan pelaksanaan Anugerah Akademik Negara serta Pelaksanaan Modal Insan Inovatif bagi Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau juga mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Kluster bagi geran Pemenang Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan di bawah Akademi Sains Malaysia dan Skim Geran Penyelidikan Asas (Ubat) bagi Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa bagi Penubuhan Universiti Penyelidikan di Malaysia dan juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penilaian Universiti Penyelidikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang membawa kepada penubuhan mercu tanda Universiti Penyelidikan di Malaysia. Beliau juga berfungsi sebagai Pengerusi bagi pembangunan dan halatuju R&D ke arah pelaksanaan Perancangan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Beliau juga membantu menentukan halatuju bidang bioteknologi dengan menjadi Ahli Kumpulan Kerja Kluster Bioteknologi Kesihatan, Ahli Bioteknologi Pulau Pinang, Panel Penasihat Pharma dan Neutraseutikal bagi Invest Penang dan Ahli Perancangan Strategik Kebangsaan dan Penasihat Bioteknologi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.Dengan berpandangan jauh, keupayaan untuk memperoleh, memanipulasi teknologi serta semangat daya saing global, Asma amat yakin bahawa jika diberi peluang, saintis tempatan akan berupaya memastikan Malaysia sebagai pemain utama dalam sistem Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (K-Economy) dan mampu membuktikan bahawa bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Malaysia boleh membawa keuntungan dan dihormati di sebalik kebejatan ekonomi.

  • facebook-square
  • Twitter Square
  • vimeo-square
bottom of page